Accessibility Tools

Skip to main content
A- A A+
Sitemap 1
Phonebook
Feedback 1
Faq 6
Call 2

TAMAN REKREASI HUTAN DALAM BANDAR GUA MUSANG (BUKIT CHUPAK)

    GUA MUSANG memperkenalkan Bukit Chupak yang menjadi mercu tanda baharu eko pelancongan di daerah ini. Berkonsepkan Taman Rekreasi Hutan Dalam Bandar, Bukit Chupak setinggi 172 meter masih mengekalkan kepelbagaian flora dan faunanya selain menjanjikan pemandangan indah bandar Gua Musang. Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang, YABrs. Encik Mohd. Roshdi Bin Ismail berkata, pembinaan Taman Rekreasi Bukit Chupak itu, adalah peruntukan yang diterima daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia (NRES) melalui kerajaan negeri di bawah peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) for biodiversity conservation dan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang (PTJGM). "Hampir RM500,000 diperuntukkan bagi merealisasikan pembinaan Taman Rekreasi Hutan Dalam Bandar, Bukit Chupak.

    "Dengan ketinggian kira-kira 172 meter, terdapat tiga trek pendakian yang boleh digunakan pengunjung untuk sampai ke puncak dengan tahap kesukaran dan jarak yang berbeza. "Di taman rekreasi ini, keindahan flora dan faunanya masih terjaga apabila terdapat nama pada pokok tertentu bagi membantu pengunjung mengenali nama pokok terbabit. "Ini boleh menambah pengetahuan pengunjung dalam mengenali flora yang ada. "Pembinaan Taman Rekreasi Bukit Chupak ini juga dibuat di tengah bandar Gua Musang untuk memberi peluang dan pengalaman kepada pengunjung merasai keindahan hutan dalam bandar sebagai tempat rekreasi serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di daerah ini," katanya ketika ditemui di Bukit Chupak, di sini. Menurut Ketua Jajahan Gua Musang, taman rekreasi terbabit masih dalam fasa pertama dan akan diteruskan untuk fasa kedua dan ketiga. Katanya, masih banyak penambahbaikan akan dilakukan untuk kemudahan pengunjung yang akan dilakukan pihak PTJGM dan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM). 

    "Setakat ini, selain menyediakan trek untuk ke puncak, kita juga ada sediakan tapak untuk perkhemahan dan menara tinjauan di puncak bukit bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan bandar Gua Musang. "Seliaan taman rekreasi ini dibuat oleh Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang (PTJGM) dan saya harap pengunjung yang datang dapat sama-sama menjaga kebersihan dan tidak merosakkan keindahan flora yang ada di kawasan ini," katanya. Seorang pengunjung, May Soluman berkata, dia sangat teruja apabila memulakan pendakian di taman rekreasi terbabit apabila masih terdapat flora yang sudah jarang dijumpai. Katanya, taman rekreasi terbabit sesuai dijadikan tempat aktiviti keluarga kerana pengunjung diberi pilihan laluan pendakian. "Ada tiga trek, ada yang sangat mudah, sederhana dan mencabar, jadi pengunjung di beri pilihan untuk memilih laluan masing-masing serta sangat sesuai datang bersama keluarga. "Sepanjang pendakian juga saya melihat beberapa tumbuhan yang sudah jarang ditemui dan saya harap keindahan ini akan terus terjaga," katanya.

    Dasar Privasi