INFO GUA MUSANG
Diawal penubuhan Majlis ini dikenali dengan nama Majlis Daerah Ulu Kelantan. Menerusi Warta K.N.PU 32 yang bertarikh 13 September 1983, Majlis Daerah Ulu Kelantan telah ditukar nama kepada Majlis Daerah Gua Musang. Penyusunan semula dibuat di bawah Akta 171 dan 176 mulai 1 Januari 1979.
Majlis Daerah Gua Musang telah dibentuk hasil daripada penubuhan serta pencantuman dua buah Penguasa Tempatan yang sedia ada iaitu Lembaga Bandaran Gua Musang dengan Majlis Tempatan Bertam yang telah ditubuhkan pada 1 Mac 1984 di bawah Seksyen 3(1), Undang-Undang Majlis Tempatan 1952.
Disamping itu, Majlis Daerah Gua Musang meluaskan lagi empayarnya dengan mengadakan perluasan kawasan operasi majlis daripada 0.68 batu persegi (1.76 kilometer persegi) kepada 50 batu persegi (129.5 kilometer persegi). Antara kawasan tersebut ialah Kampung Star, Kampung Pulai, Pasir Tumbuh, Chegar Bongor, Kampung Kerinting, Limau Kasturi, Batu Papan dan Kampung Lepan Tupai (Lepan Jaya).
Selepas pewartaan perluasan kawasan Majlis Daerah Gua Musang pada 15hb September 2005, keluasan pentadbiran Majlis Daerah Gua Musang telah bertambah iaitu seluas 7,979.77 kilometer persegi yang mana ianya merangkumi 3 daerah iaitu Daerah Galas, Daerah Bertam dan Daerah Ciku.
GUA MUSANG merupakan sebuah jajahan paling besar yang terletak di sebelah selatan Negeri Kelantan. Ia menjadi sempadan antara negeri ini dengan Negeri Pahang, Terengganu dan Perak. Jajahan ini merupakan pintu masuk ke Negeri Kelantan dari arah selatan melalui jalan darat iaitu Kuala Lipis dan Lojing Highlands. Kedudukan yang strategik serta bentuk muka buminya yang unik dengan dikelilingi hutan, bukit-bukau serta gua menggalakkan lagi industri pelancongan di Negeri Kelantan. Jarak perjalanan darat Gua Musang dari ibu negeri iaitu Kota Bharu adalah 196km.
Sila kunjungi dan lawati keindahan Gua Musang pasti mempersona dan menggamit memori indah kepada anda. Layari pautan destinasi menarik Gua Musang sila klik.