Accessibility Tools

Skip to main content
A- A A+
Sitemap 1
Phonebook
Feedback 1
Faq 6
Call 2

PERBENTANGAN CADANGAN PROJEK PEMBANGUNAN SOLAR TERAPUNG HIDRO-HYBRID (HHFS) DI GUA MUSANG OLEH TNB GENCO

    MAJLIS DAERAH GUA MUSANG, 03 September 2025 – Satu sesi perbincangan rasmi berhubung cadangan pembangunan Projek Solar Terapung Hidro-Hybrid (HHFS) di Empangan Hidroelektrik Nenggiri telah diadakan oleh pihak pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Genco di hadapan pihak pengurusan tertinggi Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) yang diketuai oleh YABrs. Encik Mohd. Roshdi Bin Ismail (Yang Dipertua MDGM) bagi meneliti keperluan pematuhan perancangan pembangunan projek berkenaan. Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut YBrs. Encik Ahmad Hamdan Bin Ubaidah (Setiausaha), YBrs. Encik W Mohd Afiq Bin W Alias (Penolong Setiausaha), Ketua-Ketua Jabatan MDGM serta pegawai-pegawai TNB Genco. Projek berimpak tinggi itu merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan keupayaan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) negara, selain memperkukuhkan agenda keselamatan tenaga di peringkat nasional. Dalam sesi perbincangan tersebut, pihak TNB Genco telah membentangkan cadangan teknikal, unjuran kapasiti tenaga yang dijana, serta langkah mitigasi bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara. Menurut pihak TNB Genco, projek HHFS yang bakal digabungkan dengan sistem hidroelektrik sedia ada dijangka dapat menjana kapasiti tenaga yang lebih mampan, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.

    Selain itu, perbincangan turut memberi penekanan terhadap aspek pematuhan piawaian perancangan, penilaian impak alam sekitar (EIA), serta konsultasi bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti berhampiran. Secara prinsip Majlis Daerah Gua Musang menyambut baik inisiatif ini dengan menegaskan bahawa sebarang projek pembangunan berasaskan tenaga baharu perlu menitikberatkan prinsip kelestarian, keterjaminan tenaga, dan keseimbangan sosioekonomi masyarakat setempat. Projek HHFS Empangan Hidroelektrik Nenggiri ini dijangka akan menjadi model rujukan kepada pembangunan tenaga boleh baharu bersepadu di Malaysia, khususnya dalam penggabungan teknologi solar terapung dengan sistem hidroelektrik.

    Dasar Privasi

    SEO - LAMAN WEB RASMI MAJLIS DAERAH GUA MUSANG

    Kompaun Yang Dikeluarkan Oleh Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan
    MYSEJAHTERA
    CUKAI TAKSIRAN