MESYUARAT PENUH MDGM KALI KE 10/2025 & MAJLIS HI-TEA JASAMU DIKENANG
KOTA BHARU, 11 NOVEMBER 2025 – MAJLIS DAERAH GUA MUSANG (MDGM) telah mengadakan Mesyuarat Penuh MDGM Kali Ke-10 Tahun 2025 yang digabungkan dengan Majlis Hi-Tea “Jasamu Dikenang” bagi meraikan mantan Setiausaha MDGM, YBrs. Encik Ahmad Hamdan Bin Ubaidah, di H-Elite Hotel Kota Bharu. Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh YABrs. Tuan Mohd. Roshdi Bin Ismail, Yang Dipertua MDGM. Turut sama memeriahkan majlis ialah YABrs. Tuan Ketua Jajahan Pejabat Tanah & Jajahan Kecil Lojing, YBrs. Tuan Setiausaha, YBrs. Ketua WHIP, YBrs. Ahli-Ahli Majlis, YBrs. Penolong Setiausaha, serta semua Ketua Jabatan dan Bahagian MDGM.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menzahirkan komitmen MDGM dalam memperkukuh urus tadbir menerusi Mesyuarat Penuh ke-10, malah turut menjadi platform untuk menyampaikan penghargaan atas jasa, dedikasi dan komitmen tinggi yang telah dicurahkan oleh YBrs. Encik Ahmad Hamdan Bin Ubaidah sepanjang beliau memegang jawatan Setiausaha MDGM. Dalam ucapan penghargaan, Yang Dipertua merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas kepimpinan, sumbangan dan pencapaian beliau yang telah membantu meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran serta memperkukuh perkhidmatan kepada komuniti di Gua Musang.