MAJLIS MENGANGKAT SUMPAH MENERIMA JAWATAN AHLI MAJLIS 2026 & MESYUARAT PENUH MDGM KALI KE 1/2026
KOTA BHARU, 12 JANUARI 2026 – Majlis Mengangkat Sumpah dan Menandatangani Penerimaan Jawatan sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Gua Musang bagi Tahun 2026 telah berlangsung dengan penuh tertib dan istiadat di H-Elite Design Hotel, Kota Bharu. Majlis tersebut telah disempurnakan di hadapan YABrs. Encik Mohd. Roshdi bin Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang. Majlis diteruskan dengan Mesyuarat Penuh MDGM Kali Ke-1/2026. Upacara ini merupakan satu simbolik penting yang menandakan penerimaan rasmi amanah dan tanggungjawab oleh Ahli-ahli Majlis yang dilantik bagi tempoh tahun 2026.
Dalam majlis ini, para Ahli Majlis telah melafazkan sumpah jawatan serta menandatangani dokumen penerimaan jawatan sebagai komitmen untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti, akauntabiliti serta berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik demi kepentingan masyarakat setempat. Majlis Daerah Gua Musang merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Ahli Majlis yang dilantik dan berharap agar pelantikan ini dapat memperkukuh kerjasama, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta menyumbang kepada pembangunan daerah Gua Musang yang lebih mampan dan sejahtera.