MAJLIS PENYERAHAN RUMAH PROGRAM BINA BARU RUMAH DI BANDAR (PBBR) FASA 2 DI GUA MUSANG
GUA MUSANG, 14 Januari 2025 – Majlis Penyerahan Rumah bagi Program Bina Baru Rumah di Bandar (PBBR) Fasa 2 telah berlangsung dengan jayanya di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Gua Musang (MDGM). Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh YABrs. Encik Mohd. Roshdi bin Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang. Program ini merupakan inisiatif berterusan pihak berkuasa tempatan dalam usaha menyediakan kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti kepada golongan sasar di kawasan bandar. Turut hadir memeriahkan majlis ialah YBrs. Tuan Setiausaha Majlis Daerah Gua Musang serta Penolong Jurutera Majlis Daerah Gua Musang, bersama pegawai-pegawai MDGM yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan projek tersebut. Program PBBR Fasa 2 ini diharap dapat meningkatkan taraf hidup penerima manfaat serta menyokong agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti setempat di daerah Gua Musang.