MAJLIS SOLAT HAJAT SEMPENA PEMBINAAN MASJID IKTIKAF TAMAN SAUJANA HARMONI GUA MUSANG
GUA MUSANG, 09 Julai 2026 – Majlis Solat Hajat sempena pembinaan Masjid Iktikaf Taman Saujana Harmoni telah berlangsung dengan penuh kesyukuran di tapak pembinaan masjid berkenaan. Majlis dimulakan dengan Solat Hajat yang dipimpin oleh Imam Muhammad, Imam Muda Masjid Mutiara Gua Musang, sebagai memohon keberkatan, kelancaran serta keselamatan sepanjang pelaksanaan projek pembinaan masjid tersebut.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian tapak oleh YABrs. Encik Mohd. Roshdi Bin Ismail, Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang. Dalam ucapannya, beliau berharap pembinaan Masjid Iktikaf Taman Saujana Harmoni dapat menjadi mercu tanda penyatuan ummah serta pusat pembangunan ilmu, ibadah dan aktiviti kemasyarakatan bagi penduduk setempat. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Drs. Ustaz Mohd Zaki bin Mat Zin, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Saujana Harmoni, YB. Dato' Syahbuddin Bin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, wakil Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, wakil Majlis Daerah Gua Musang serta penduduk sekitar yang hadir memberikan sokongan terhadap pembangunan rumah ibadah tersebut. Projek pembinaan Masjid Iktikaf Taman Saujana Harmoni dianggarkan menelan kos sebanyak RM800,000 dan mampu menampung kira-kira 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Pembinaan dijadualkan bermula pada Julai 2026. Semoga usaha murni ini dipermudahkan dan menjadi amal jariah yang berpanjangan kepada semua pihak yang terlibat serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat untuk generasi akan datang.