PROGRAM CLEAN UP DAY: “PICK IT UP – PUT IT RIGHT” JAJAHAN GUA MUSANG
GUA MUSANG, 3 September 2026 – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Jajahan Gua Musang telah menganjurkan Program Clean Up Day: “Pick It Up – Put It Right” bertempat di Pentas Budaya, Kompleks Perdana MDGM yang dirasmikan oleh YABrs. Encik Mohd. Roshdi Bin Ismail (Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Penasihat PUSPANITA Gua Musang). Turut hadir Puan Maslini Binti Ab Manaf (Pengerusi PUSPANITA Gua Musang) serta ahli-ahli PUSPANITA. Program yang bermula pada jam 8.00 pagi itu merupakan salah satu inisiatif bagi memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam kalangan warga kerja serta komuniti terhadap aspek kebersihan, keceriaan dan kelestarian persekitaran. Antara pengisian utama program ialah aktiviti senamrobik sebagai pembuka program, diikuti aktiviti Trash Weight Challenge yang menekankan semangat kerjasama dan kesedaran peserta dalam mengutip serta menguruskan sampah dengan cara yang betul. Aktiviti pembersihan bermula dari Taman Rimba Gua Musang dan berakhir di hadapan SMK Tengku Indera Petra 1, melibatkan aktiviti kutipan sampah dan pembersihan kawasan sepanjang laluan yang ditetapkan. Pelaksanaan program ini selaras dengan usaha MDGM untuk mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, indah dan ceria, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa kebersihan merupakan tanggungjawab bersama. Melalui slogan “Pick It Up – Put It Right”, program ini turut mengajak masyarakat agar tidak hanya mengambil tindakan membersihkan kawasan, malah memastikan sampah dikutip, diurus dan diletakkan di tempat yang sepatutnya. MDGM berharap agar semangat yang diterapkan melalui program ini dapat diteruskan secara berterusan dan menjadi amalan dalam kehidupan seharian demi mewujudkan Gua Musang yang lebih bersih, selesa dan sejahtera untuk semua.