MAJLIS PERASMIAN PENTAS BUDAYA KOMPLEKS SERBAGUNA MDGM
Pada 11 Jun 2022 berlangsung Majlis Perasmian Pentas Budaya Kompleks Serbaguna MDGM, majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Mejar (B) Hj Md Anizam Bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan. Tujuan utama pembinaan pentas budaya ini adalah untuk menaikkan semula budaya, kesenian dan juga warisan Negeri Kelantan seperti dikir barat, wayang kulit, seni silat, dan juga permainan tradisional. Kos pembinaan pentas budaya ini diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Sebagaimana yang kita maklum Negeri Kelantan terkenal sebagai lubuk budaya, pusat pengajian, pemancaran Islam dan pusat tradisi intelektualisme yang kukuh sejak zaman berzaman. Dengan berbagai gelaran diberikan seperti “Cik Siti Wan Kembang”, “Tanah Serendah Sekebun Bunga” , “Kota Budaya” sehinggalah kepada gelaran “Kota Darulnaim”. Kekayaan budaya dan tradisi masyarakat Kelantan inilah yang harus digarap dan digali semula untuk tatapan warisan generasi akan datang supaya warisan kebudayaan, tradisi, kesenian Negeri Kelantan ini tidak terkubur ditelan zaman. Sesuai dengan nama Pentas Budaya, InsyaAllah Majlis Daerah Gua Musang dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan, Kerajaan Negeri Kelantan akan menyelaras dan mengatur program-program kesenian, kebudayaan secara berkala di Pentas Budaya ini bagi memartabatkan semula warisan Negeri Kelantan ini. Di samping itu juga, dapat mempromosikan pelancongan di Jajahan Gua Musang.