PROGRAM PENGUKUHAN AKTIVITI SARINGAN KESIHATAN OLEH PKD GUA MUSANG
PADA 09 SEPTEMBER 2025, Majlis Daerah Gua Musang hari ini menjadi lokasi penganjuran Program Pengukuhan Aktiviti Saringan Kesihatan yang melibatkan penyertaan anggota KOSPEN WOW daripada pelbagai agensi kerajaan. Program anjuran bersama Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dan Majlis Daerah Gua Musang ini bertujuan memperkukuh kesedaran serta amalan gaya hidup sihat, di samping memastikan anggota KOSPEN WOW yang berperanan sebagai ejen perubahan komuniti yang sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Antara pengisian utama program adalah Saringan Kesihatan Menyeluruh (pemeriksaan tekanan darah, tahap gula darah, kolesterol dan indeks jisim badan (BMI) dan Sesi Pendidikan Kesihatan (ceramah pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD). Program yang bermula pada jam 8.30 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran wakil pelbagai agensi kerajaan di daerah ini, termasuk anggota kesihatan, keselamatan, pengurusan dan kakitangan pentadbir tempatan. Penganjuran ini diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran kesihatan komuniti Gua Musang, seiring aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat dalam mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit di peringkat daerah ini.