MAJLIS SAMBUTAN HARI KELANTANKU BERSIH TAHUN 2025
MAJLIS SAMBUTAN HARI KELANTANKU BERSIH TAHUN 2025 yang telah berlangsung pada 8 Disember 2025 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari, merupakan platform utama untuk menggerakkan kesedaran dan komitmen rakyat terhadap kebersihan negeri. Program dimulakan dengan pendaftaran peserta, sarapan pagi serta ceramah berkaitan Program Komuniti Amalan Hijau (PKAH) oleh KUMH Holdings Sdn. Bhd., yang bertujuan memberi pendedahan tentang amalan hijau dan pengurusan sisa yang lebih berkesan dalam komuniti. Ketibaan tetamu kehormat bermula jam 10.15 pagi, melibatkan Yang Dipertua PBT, ketua jabatan, YB Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, YB Timbalan Menteri Besar Kelantan serta dif-dif jemputan.
Acara perasmian dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan Selamat Sultan, persembahan Wayang Kulit, bacaan doa serta ucapan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa, sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YB Timbalan Menteri Besar Kelantan. Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian serta tayangan montaj Lokasi Tarikan Baharu Di Dalam Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan . Seterusnya, pelbagai anugerah disampaikan termasuk Anugerah PKAH 2025, Anugerah Ikon Kebersihan Komuniti, bantuan kewangan untuk pembelian tong sampah kepada PBT dan Anugerah Kelantanku Bersih 2025 sebagai penghargaan kepada pihak yang menunjukkan usaha cemerlang dalam menjaga kebersihan. Secara keseluruhan, program ini memberi pelbagai manfaat penting seperti memperkukuh kesedaran kebersihan dalam kalangan rakyat, menggalakkan penglibatan komuniti dalam amalan hijau, meningkatkan kerjasama antara PBT dan masyarakat, serta memberi motivasi melalui pengiktirafan dan insentif. Majlis ini juga berfungsi sebagai pemangkin kepada budaya hidup bersih dan lestari di negeri Kelantan, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat, teratur dan harmoni.