KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA SEMPENA MUSIM PERAYAAN AIDILFITRI GUA MUSANG 1447H/2026M
GUA MUSANG, 25 MAC 2026 (RABU) – Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Aidilfitri 1447H/2026M telah berjaya dilaksanakan pada jam 8.30 pagi bertempat di hadapan R&R Rantau Manis, Gua Musang. Program ini dianjurkan PTJGM serta semua Jabatan/Agensi di Jajahan Gua Musang dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kelantan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keselamatan ketika berada di jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan aliran trafik.
Majlis telah disempurnakan oleh YABrs. Encik Mohd. Roshdi Bin Ismail, Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang.Turut hadir memeriahkan program ialah YB. ADUN Paloh, YB. ADUN Galas, YB. ADUN Nenggiri, Tuan Timbalan Ketua Jajahan PTJGM, Tuan Setiausaha MDGM, semua Penyelia DUN di Gua Musang, Ketua WHIP, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri di Jajahan Gua Musang, pemimpin tempatan, kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang (PTJGM) serta kakitangan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM), di samping penyertaan masyarakat setempat. Pelbagai pengisian telah dilaksanakan sepanjang kempen termasuk pengagihan risalah keselamatan jalan raya, pemberian cenderahati kepada pengguna jalan raya serta sesi advokasi bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang jalan raya.
Pihak penganjur berharap agar inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta memastikan orang ramai dapat pulang ke destinasi masing-masing dengan selamat sepanjang musim perayaan. Secara keseluruhannya, majlis ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pandu Cermat, Jiwa Selamat”