MAJLIS PENYERAHAN KOMPONEN PROJEK ECOLOGICAL FISCAL TRANSFER FOR BIODIVERSITY CONSERVATION (EFT) BUKIT CHUPAK – TAMAN REKREASI HUTAN DALAM BANDAR KEPADA MAJLIS DAERAH GUA MUSANG
GUA MUSANG, 4 Mei 2026 – Majlis Penyerahan Komponen-Komponen Projek Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) Bukit Chupak telah berlangsung dengan jayanya di Taman Rekreasi Hutan Dalam Bandar, Bukit Chupak. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Rosnazli Bin Haji Amin, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan. Turut hadir ialah YABrs. Encik Mohd. Roshdi Bin Ismail, Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang (MDGM). Hadir sama YBrs. Setiausaha Majlis, Ketua WHIP, semua Ahli Majlis MDGM, pegawai-pegawai, Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan/Negeri di Jajahan Gua Musang serta dif-dif jemputan.
Majlis ini bertujuan untuk menyerahkan secara rasmi komponen-komponen pembangunan projek EFT kepada Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) sebagai agensi pelaksana dan penyelaras bagi pengurusan kawasan rekreasi berkenaan. Projek EFT merupakan inisiatif strategik dalam usaha pemuliharaan biodiversiti serta pemeliharaan kawasan hijau dalam bandar. Pelaksanaan projek ini bukan sahaja menyokong kelestarian alam sekitar, malah turut mempertingkatkan kemudahan rekreasi awam serta kesejahteraan komuniti setempat. Antara komponen yang dibangunkan termasuk penambahbaikan infrastruktur rekreasi, kemudahan awam serta elemen konservasi yang memberi manfaat jangka panjang kepada ekosistem setempat. Majlis penyerahan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan yang seimbang antara kemajuan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan agenda pembangunan mampan negara. Pihak Majlis Daerah Gua Musang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek serta majlis ini.